Perintah Kabinet Isu_laluan_Bandar_Mahkota_Cheras_di_Lebuhraya_Cheras-Kajang

Kabinet mengarahkan laluan Bandar Mahkota Cheras (BMC) ke persimpangan Bandar Tun Hussein Onn di Lebuh Raya Cheras-Kajang yang mencetuskan kontroversi sejak dua tahun lalu dibuka serta-merta. Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd Zin Mohamed seterusnya meminta penduduk supaya tidak terpengaruh dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan berhubung isu tersebut hingga mencetuskan kekecohan. Menurut Mohd. Zin, Grand Saga telah bersetuju untuk tidak mendirikan tembok penghadang sehingga keputusan mahkamah diperoleh. Sehingga keputusan mahkamah dibuat, Grand Saga boleh menuntut ganti rugi daripada kerajaan mengikut perjanjian konsesi sehingga boleh menjangkau RM9,000 sehari (RM270,000 sebulan atau lebih RM3.5 juta setahun). Taliworks adalah antara pemegang saham dalam Cerah Sama Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang memiliki Grand Saga.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima cadangan kementerian agar laluan itu dibuka sementara setelah mengambil kira kepentingan penduduk taman perumahan tersebut selain mengelakkan kontroversi itu terus berlarutan. Dengan keputusan itu, jelas beliau, penduduk BMC kini boleh menggunakan laluan tersebut untuk ke Lebuh Raya Cheras-Kajang berbanding sebelum ini mereka terpaksa melalui bandar Sungai Long dan membayar tol di Plaza Tol Batu 11.